Showing posts with label pengembaraan USA. Show all posts
Showing posts with label pengembaraan USA. Show all posts

Monday, July 22, 2019

3 Pertemuan di Carbondale Muslim Center

Hari kedua kami berada di Carbondale ialah hari Jumaat, penghulu segala hari. Biasanya bila hari Jumaat kami mengambil peluang untuk menunaikan solat Jumaat di masjid atau Islamic Center.
Carbondale Muslim Center hanya 10 minit perjalanan dari Southern Illinois University (SIU). Sangat mudah menjumpainya.
 
Tiba di masjid ini, kami dapati sudah ramai jemaah yang tiba. Masjid dua tingkat ini mempunyai ruang solat di bahagian atas. Bilik air dan bilik wudhu di bahagian bawah. Tempat solat kaum wanita di bahagian belakang di tingkat atas juga. Ramai juga wanita yang solat jumaat di sini. Tak dapat saya bayangkan betapa ramainya lagi jemaah bila pengajian semester di universiti bermula. 

Usai solat, seorang wanita menghampiri kami dan menanyakan samada kami orang Malaysia. Ooh rupanya masih ada orang Malaysia di Carbondale ini yang tidak balik bercuti ke Malaysia. Rupa-rupanya mereka sekeluarga. Kedua-dua Masita dan suaminya sedang belajar di peringkat Phd di SIU. Selepas bersembang panjang, Masita mengajak kami ke 'Bake Sale' di tingkat bawah masjid. Banyak juga makanan yang di jual di sini yg sesuai dijadikan juadah tengahari. Cara membelinya ialah dengan menggunakan tiket. Ramai para jemaah memilih untuk makan terus di sini memandangkan meja dan kerusi disediakan.
Di sini saya bersua pula dengan seorang 'senior' yang pernah belajar di sekolah yang sama  dengan saya satu ketika dahulu. 'Small world!'. Walaupun saya tidak mengenali beliau, sikap peramahnya menyebabkan saya dan suami mudah untuk bersembang dengannya. Rauzan(Awang) sudah lama menetap dan bekerja di negara ini. Sudah semestinya dia seronok berjumpa dengan rakan senegaranya. Khabarnya dia akan berpindah ke Chicago beberapa hari selepas itu.
Tak lama selepas itu, anak sulung saya sekeluarga tiba di masjid. Alhamdulillah Allah pertemukan kami setelah lebih 2 tahun mereka kembali ke negara ini. Itulah kali pertama juga kami bertemu Adam, cucu kedua kami. Oleh kerana sudah agak lewat, kami mengajak mereka merasa juadah yang dibeli dahulu sebelum ke tempat lain.
Tiga pertemuan yang di atur Allah. Mulanya kami  merancang untuk hanya solat Jumaat di situ. Namun Allah jua perancang terbaik sebab mentaqdirkan 3 pertemuan ini. Semuanya hanya dengan kehendaknya dan berlaku di rumahNya. Kami bertambah yakin dalam permusafiran ini sekiranya kita dekat dengan Allah, Allah akan tambahkan nikmatNya dengan tidak di sangka sangka.  Alhamdulillah.

Tuesday, March 26, 2019

Pengembaraan di Indiana, Ibrah Antara Kematian dan Berkejar Membuat Kebaikan



Indiana sebuah negeri yang besar dan ke barat Ohio. Sekitar tahun 1980an dahulu ramai pelajar Malaysia yang belajar di negeri ini, khususnya di Bloomington dan Terra Haute Kami pernah singgah solat di Islamic center Bloomington dan Indianapolis beberapa tahun lepas.
Kali ini pengembaraan kami di Indiana hanya sebentar.  Indianapolis, ibu negeri Indiana, hanya tempat kami melepaskan lelah. Berehat semalam untuk mengumpul tenaga bagi hari seterusnya. Tanpa disangka keesokkan harinya kami dikunjungi oleh sekeluarga sepupu saya yang kini menetap di Bloomington. Rasa sedih menyelubungi kami bila kami saling menceritakan ibunya yang baru meninggal ketika itu. Sebenarnya ibu beliau meninggal selepas beberapa hari  kami tiba di Amerika Syarikat. Alhamdulillah dia sempat pulang ke Malaysia dan menatap wajah ibunya sebelum meninggal. Kami juga sempat menziarahi ibunya sebelum berlepas ke sini. Allah sediakan pelbagai hikmah disebalik ujian yang Dia berikan. Setelah puluhan tahun inilah kali pertama kami bertemunya sekeluarga. Alhamdulillah.

Satu tempat yang sempat kami kunjungi  di Fairfield,Indiana ialah ibu pejabat ISNA(Islamic Society of North America).  ISNA ialah salah sebuah pertubuhan Islam yang terbesar di Amerika Syarikat. Di bawahnya terdapat pelbagai pertubuhan Islam yang lebih  kecil seperti Muslim Students Association, American Muslim Scientists and Engineers dan Islamic Teaching Center. ISNA  juga memberi bantuan kepada penduduk Islam dan para imigran muslim di Amerika Syarikat. Pelbagai dialog interfaith di adakan agar gejala Islamophobia dpt dikurangkan. 
Walau bagaimanapun kunjungan kami ke sana agak mengecewakan sebab bangunan ini tutup. Mungkin Cuti musim panas menyebabkan kebanyakan pekerja mengambil cuti. Oleh itu kami tidak berpeluang untuk masuk dan bersua dengan para pekerja di sana untuk mendapat maklumat terkini daripada mereka. Silap kami juga sebab tidak pastikan terlebih dahulu tentang waktu tempat ini dibuka untuk lawatan ketika itu. Namun, Alhamdulillah kami sampai juga ke tempat pertubuhan istimewa bagi orang Islam ini. 
Antara kematian dan ISNA mungkin tidak ramai yang dapat melihat perkaitannya. Yang pertama berkenaan kembli ke alam barzakh. Yang kedua berkenaan dengan usaha membantu orang Islam. Namun petikan daripada sebuah artikel majalah Solusi ini mungkin akan membuat kita berfikir yang kedua-duanya berkait. Mungkin artikel ini panjang sedikit namun membacanya membuat kita berfikir lebih mendalam. 'Siapa manusia yang paling jahat? Jika soalan ini di tujukan kepada kita, mungkin ramai yang menjawab ;"Firaun!" Benar, tidak ada sesiapa yang dapat menandingi kejahatan Firaun. Dia bukan sahaja derhaka kepada Tuhan, bahkan mengaku sebagai Tuhan. Itulah puncak segala kejahatan. Ya, secara sinis kita boleh berkata:" Sesiapa yang tidak menganggap Firaun jahat, dia juga orang jahat." Namun sejahat-jahat Firaun, dia tetap percaya akan adanya hari akhirat(kehidupan selepas akhirat). Buktinya, Firaun membina piramid dan disediakan di dalamnya semua bekalan untuk menghadapi kehidupan selepas mati. Walaupun caranya salah, namun dia yakin dan melakukan persiapan untuk menghadapi akhirat dengan caranya sendiri.  Kita pula bagaimana? Bagaimanakah keyakinan kita terhadap hari akhirat  dan apa pula persediaan kita untuk menghadapinya? Ah! ironinya, kita yang mengaku  lebih baik daripada Firaun, namun tidak pula 'seserius' dia di dalam persediaan menghadapi hari akhirat yang pasti datang itu! Mungkin sesetengah kita beranggapan bahawa keyakinan kepada hari akhirat hanya berguna untuk "kehidupan" di akhirat sahaja. Atas keyakinan itu, iman kita di kira sah dan kita menjadi seorang muslim. Sekiranya keyakinan itu tidak terjejas hngga ke akhir hayat, kita berpeluang memasuki syurga. Namun keyakinan kepada hari akhirat sebenarnya sangat memberi kesan kepada kehidupan kita di dunia. Dalam erti kata lain, beriman dengan hari akhirat akan memberikan manfaat yang sangat besar semasa hidup di dunia lagi.  Apabila manusia yakin akan adanya nikmat kekal abadi di dalam syurga, maka itu memberi kekuatan, ketabahan dan harapan untuk mengharungi apa apa jua kesusahan di dunia. Dia rela susah ketika melakukan ketika melakukan kebaikan. Dia akan sabar menempuh ujian-ujian dalam kehidupan. Tegasnya dia rela menerima penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia demi mengharapkan kesenangan dan kebahagiaan yang lebih baik dan lebih kekal di akhirat,  Apabila manusia yakin akan adanya azab neraka , maka dia akan rela meninggalkan segala kejahatan dalam kehidupan walaupun kejahatan itu kelihatan seronok, indah dan mengiurkan. Segala kesusahan, ketidak selesaan ketika meninggalkan kejahatan sanggup diredahnya kerana menyedari azab neraka lebih pedih dan berkekalan. Prinsip hidupnya, biarlah bersakit-sakit dahulu di dunia, agar tidak bersakit-sakit di akhirat. ' Kenang akhirat, tenang di Dunia - Pahrol Mohd Juoi - Solusi  isu 101


Semoga menjadi panduan bagi kita semua untuk berkejar-kejar melakukan kebaikan menuju alam akhirat.

Thursday, February 21, 2019

Sejenak di Restoran halal dan Taman di Columbus

Dari jauh restoran halal ini kelihatan  kecil dan lama. Namun bahagian dalamannnya kelihatan kemas dan 'homely'. Restoran Durbo,sebuah restoran Somalia antara tumpuan pelajar muslim di Columbus. Kami singgah di sini sebelum menuju ke rumah anak kami tidak jauh daripada Ohio State University. 
Kami hanya memesan hanya 3 hidangan di sini memandangkan jumlah setiap hidangan sangat banyak. Bahkan ada hidangan di sajikan terus dalam talam!Alhamdulillah, sedap juga makanan yang disediakan di sini.
 
Tuttle Park hanya terletak tidak jauh dari apartment anak kami




. Taman ini merentasi Sungai Olentangy Pemandangan air sungai yang  mengalir perlahan menyejukkan mata bagi orang yang bersiar-siar. Ramai pelajar pelajar universiti yang tinggal berhampiran taman ini mengambil peluang berjogging dalam cuaca yang panas ini. Bagus juga melakukan aktiviti sebegini terutama di waktu petang.
Sungguh, Allah mengurniakan anggota badan kepada kita dan mengamanahkan kita menjaganya. Setiap anggota badan punya hak untuk dijaga agar ia sentiasa sihat. Sebagai orang Islam kita harus percaya hak anggota badan itu harus dijaga samada yang fizikal mahupun rohani. Ini sebab kedua-duanya saling berkait. Benar apa yang dibincangkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya Tenang Ada Di Sini
 
'Anggota badan umpama  anak sungai yang mengalirkan air ke hati. Sekiranya pancaindera dan anggota badan terlibat dengan maksiat seperti mengumpat, mengadu domba, memandang yang haram dan bercakap kotor, maka itu umpama air berkeladak yang akan mencemarkan kejernihan hati. 

Sebaliknya jika pancaindera membuat banyak kebaikan seperti memakan makanan yang halal, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah dan sebagainya, maka anak sungai yang mengalir ke hati ialah air yang jernih dan bersih. Hati akan bersinar dan bercahaya jadinya.' 
Semoga kita bersama-sama menjaga pancaindera kita. 

Friday, November 23, 2018

Secekak Bunga Lavender

Kami diberikan gunting dan tali pengikat untuk menuai bunga ini. Secekak bunga yang dituai dan boleh diikat di kenakan hanya $5. Sebenarnya bukan bunganya yang kami inginkan sangat, tapi pengalaman mendekati, memegang dan menghidu haruman bunga kecil ini yang lebih kami hargai. Saya percaya ramai yang melawat ladang-ladang bunga atau buah setuju dengan pendapat saya, bukan?

Ladang lavender milik Lavender Hill Farm ini terletak tidak sampai 100 m dari kedainya. Dari jauh pokok-pokok kecil ini seperti padang rumput berwarna ungu. Pokoknya tidak punya batang hanya dahan berkayu keras sedikit daripada rumput. Untuk menuainya perlu guna gunting sahaja.
 Rupa-rupanya bunga Lavender yang berwarna ungu ni pun mempunyai pelbagai jenis seperti English  Lavender dan Grosso Hybrid antara jenis yang terdapat di sana. Namun kesemuanya berbau harum bila dihidu. 
Allah jadikan manusia makhluk yang suka kepada bauan yang harum. Antara perkara yang paling disukai Rasulullah juga ialah wangi-wangian. Bahkan Rasulullah juga pernah mengaitkan cara memilih sahabat yang baik dengan minyak wangi.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
" Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi atau engkau boleh membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapat bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, boleh jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap."
Hadith Riwayat al Bukhari dan Muslim

Berada di kawasan yang penuh tumbuhan berbunga agak mencabar ketika ini. Lebah-lebah madu begitu banyak menghisap madu bunga dan menjalankan tugasnya sebagai agen pendebungaaan. Saya yang tidak biasa dengan keadaan sedemikian agak gusar bila berada di sana namun memilih untuk tidak kisah dengan kehadiran mereka. Maklumlah peluang melawat ladang lavender bukannya datang selalu. Ikut kebiasaan sekiranya kita tidak bertindak agresif, lebah-lebah tidak menyengat.
Sungguhpun demikian takdir Allah seekor  lebah masuk dan menyengat juga bahagian lengan walaupun saya memakai baju berlengan panjang. Alhamdulillah sengatannya tidak berbisa dan meninggalkan bekas. 
Puas memerhati, menghidu dan menggunting pokok lavender secekak, kami pun berhenti rehat seketika dan kemudian ke kedai semula untuk membayarnya. Keluar daripada kedai, kami ternampak beberapa orang peminat lavender sudahpun berada di ladang walaupun cuaca masih membahang. Mungkin kaedah U pick(memetik sendiri) ini menguntungkan juga di sini walaupun menanam hanya satu jenis bunga.  Kaedah U pick  ini belum popular lagi di Malaysia. Agak-agaknya tumbuhan 
apa yang sesuai untuk U pick di Malaysia?

Kedai Ladang Lavender-satu idea agrotourism

Tempat pertama yang kami tuju ialah kedai ladang itu yang terletak betul-betul di belakang rumah tersebut.  Papan tanda  'U pick Starts Here ' memudahkan kami tahu apa yang perlu dilakukan sebaik saja sampai di ladang itu. Oleh itu tidaklah perlu kami mundar-mandir di situ menanyakan orang di sana. Satu idea yang baik bagi tuan punya dusun atau ladang di Malaysia yang ingin mengusahakan perniagaan 'U Pick' atau seumpamanya seperti agrotourism.
Sebaik saja melangkah masuk, kami ternampak pelbagai produk lavender yang dihasilkan oleh pihak ladang ini. Sabun, minyak dan potpurri antara puluhan produk yang boleh dihasilkan oleh bunga kecil ini. Gaya susun kedai ini nampak kemas dan profesional meskipun tereltak dalam sebuah ladang. Terdapat sampel minyak wangi lavender yang boleh di hidu sebelum pelanggan memilih mana yang berkenan di hati. Sampel lavender kering  dipamerkan utk pelanggan lihat sebelum membuat keputusan membeli potpurri atau produk bunga kering. Produk lukisan lavender di atas ceramic, kotak kayu dan kad juga di jual disini. Semuanya berkenaan alam bunga lavender. 

Sebelum kami melangkah ke arah ladang lavender ini, kami singgah sebentar untuk minum jus lavender sejuk yang di campurkan dengan lemon.  Ini disediakan oleh pihak ladang secara percuma. Ya, lavender juga boleh dijadikan jus. Sangat sesuai diminum sebagai pembasah tekak dalam cuaca yang sangat panas ketika itu selain daripada punya khasiat yang pelbagai. 

Kadangkala bila kita mengembara, banyak pengetahuan yang kita perolehi yang boleh digunakan untuk membangunkan atau menambah baik ekonomi negara kita. Mungkin kita bukan dalam bidang perniagaan agrotourism mahupun pelancongan. Namun tak salah kiranya kita dapat mewar-warkan idea-idea menarik agar dapat diketengahkan kepada pihak yang melaksanakannya. Setiap perbuatan yang baik, insha Allah akan mendapat balasannya. Rebutlah balasan Allah yang lebih besar. 
Firman Allah:

" Bersegeralah memohon keampunan Allah. Syurga seluas langit dan bumi disediakan untuk orang yang bertakwa. iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berbuat kebaikan."
Surah Ali 'Imran 3: 133-134)
Bersambung

Singgah Sebentar di Ladang Lavender

Allah anugerahkan bunga ini antara bunga kegemaran wanita selain daripada bunga ros. Sebagai pencinta bunga memang sudah  lama saya idamkan lawatan ke ladang bunga ini. Namun setiap kali ke negara ini atau negara negara lain, saya belum berkesempatan melawatnya. Takdir Allah saya selalu  tiba sebelum musimnya atau musim menuainya sudah berakhir, ataupun cengkaman masa semasa mengembara menyebabkan rancangan sering tertunda.

Sebut saja lavender, mesti ramai yang mengingati warna ungunya. Meskipun lavender wujud dalam warna-warna lain, namun warna ungulah yang paling diminati. Umumnya ramai yang mengetahui tentang pelbagai kegunaan lavender, sejenis bunga yang terkenal dengan  keharuman yang istimewa. 

Lavender Hills Farm sebuah ladang yang terletak di kawasan luar bandar Niles, Michigan. Sengaja saya pilih sebuah ladang U Pick yang membolehkan kami melihat secara dekat dan mendapat pengalaman menuai bunga yang unik ini.  

Kami di sambut dengan satu pemandangan yang menarik bila setibanya di Lavender Hill Farm ini. Sebuah rumah kayu kecil yang dihadapannya tersusun deretan bunga lavender ungu yang sedang kembang mekar. Subhanallah. Sangat indah. 

Melangkah ke bahagian belakang rumah ini barulah kami ternampak ladang lavendernya yang luas. Dari jauh kelihatan seperti sebuah padang rumput yang ungu. Namun di asingkan mengikut jenis-jenis yang berlainan. 
Bila berbincang tentang bunga, kita sering mengaitkannya dengan keindahan dan keharumannya. Kadangkala bunga juga boleh dikaitkan dengan kebaikan.
 
'Jika kebaikan yang diberi, sekalipun tersembunyi, pasti akan ketara jua akhirnya. Tangan yang menghulurkan bunga mawar, pasti harum baunya. Namun sebaliknya, meskipun pandai berkilas, kejahatan pasti terbalas.'
Dimana DIA diHatiku-Pahrol Mohd Juoi.
Bersambung

Pengaruh Belanda di Michigan

Sebut saja Holland, mesti ada yang teringat tentang Belanda. Negara yang terkenal dengan bunga tulips dan kasut kayu yang digelar clogs. Holland yang kami singgah ini tidak terletak di Belanda. Holland ini sebuah bandar yang terletak di tepinTasik Macatawa dan tidak jauh dari Tasik  Michigan.
Nama Holland sudah pasti memberi gambaran tentang pengaruh budaya Belanda di sini. Kawasan mula di diami secara besar besaran oleh imigran Belanda sekitar tahun 1880an. Asalnya kawasan ini di didiami oleh kaum native Americans.

Kemuncak tempat ini ialah sewaktu Tulip Time Festival. Tulip festival difokuskan kepada pameran budaya orang Belanda dan hiasan beribu-ribu  bunga tulip di satu kawasan yang sangat besar,  hampir sama dengan floria fest yang diadakan di negara kita. Biasanya Tulip Festival di Holland ini ialah pada bulan Mei, sedangkan kami tiba di sana pada bulan July. Saya berkesempatan ke Tulip Time Festival di Pella, Iowa pada tahun 2012. Ketika itu sebahagian besar  bandar itu dihias istimewa bagi acara tersebut. 

 Tempat yang kami tuju ialah sebuah kawasan pelacongan. Takdir Allah kami terlewat sampai ke Windmill Island Gardens. Tempat ini  telah ditutup pada pukul 5 petang. Walau bagaimanapun pelawat dibenarkan bersiar-siar di kawasan persekitarannya. 

Meskipun bunga tulips tidak kelihatan di sini sebab musimnya sudah habis, bunga-bunga lain yang pelbagai warna n mekar kembang menghiasi sebahagian besar taman ini. Sungguh, fitrah manusia suka kepada pelbagai warna. Bunga-bunga yang terhasil daripada  makhluk ciptaan Allah ini memberi ketenangan setiap kali memandang.  

Rasulullah s..a.w. bersabda," Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka pada keindahan."
(Riwayat Muslim)

Satu petikan yang sering mengingatkan diri:
'Alam ciptaan Allah dapat memberi ketenangan  kepada hati orang yang beriman. Bukan kerana warna, keindahan dan keunikannya tetapi kerana alam ini sangat dekat dengan Allah. Alam adalah " mahakarya" Allah yang belum diusik oleh perbuatan manusia. 

Laut,  gunung, bukit, hutan ialah alam "semulajadi" yang terbina secara sunnatullah. Tidak ada campur tangan manusia. Oleh itu apabila manusia beriman dekat dengan sesuatu yang dekat dengan Allah(alam ini), maka hati mereka akan terhibur!'
 Tenang Ada di sini - Pahrol Mohd Juoi

Windmill Island Gardens-Warisan Belanda

Taman warisan orang Belanda ini agak unik sebab terdapat barang- barang yang asalnya daripada negara Belanda sendiri. Ada yang  dibuat lebih seratus tahun dan masuh berfungsi. 


Di bahagiann hadapan taman ini terdapat sebuahnrumah kayu yang menempatkann sebuah alat muzik 'street organ' yang besar.  Digelar sebagai  The Four Columns Organs, alat muzik ini dibina pada tahun 1928  dan dihadiahkan oleh bandaraya Amsterdam sendiri. Walaupun antik danbsiznya sangat besar, Organ ini dikatakan masih berfungsi sehingga sekarang. 

Di satu sudut lain kelihatan sederet bangunan setingkat  yang  dicat berwarna warni. Ini ialqh sebuah replika sebuah kampung Belanda " Dutch Village"  Berdasarkan TripAdvisor.com terdapatbkedai kedai yang menjual barang barang yangnberkait rapatndengan priduk orangnbelanda sperti clogs dan barangan yang berkaitrapat dengan orang Belanda. Kami tak dapat masuk ke dalam sebab wakt itu kedai-kedai ini telah ditutup.
Di satu sudut dib hujung kelihatan sebuah kincir angin yang besar. Kincir angin merupkan satu ikon bagi negara Belanda.  Asalnya kincir angin digunakannuntuk memproses gandum, namun telah digunakan untuk memproses pelbagai bend kain seoerti cat dan minyak.

Mengikut sejarah de Zwaan windmill ini dibina pada tahun 1761 dan telah mengalami pengubahsuaian beberapa kali.  De Zwwan yang bermaksud angsa( The Swan)) telah dibawa ke Michigan pada tahun 1965. Ia merupakan kincir angin terakhir yang dibawa dari negara belanda. De Zwaan ini masih berfungsi dan di gunakan untuk mengisar gandum di kawasan ini. 

Kami kurang pasti kenapa orang belanda sanggup membawa kincir angin yang begitu besar ke sini. Berdasarkan pembacaan saya,  ini bukan satu satunya kincir angin yang di bawa dari negara Belanda. Mungkin ada sejarah tersendiri atau 'sentimental value' oleh imigran Belanda di Amerika Syarikat. 

Berdasarkan sejarah, kincir angin telahpun wujud dizaman khalifah Umar Al Khattab lagi dalam kurun ke 7 Masehi. Pernah dengar nama Al Jazari dan Taqi al Din? Mereka  ialah  jurutera Islam  zaman empayar Uthmaniyyah dan Abbasiyah yang banyak merekacipta pelbagai alat teknologi yang kompleks. Antaranya ialah kincir air, enjin stim dan jam. Rekacipta ini kemudiannya di ubahsuai oleh jurutera Eropah.  Malangnya ramai daripada kita yang mbih mengenali jurutera  atau saintis barat. Jom kita ambil langkah kendeoan mengenali saintis dan jurutera Islam zaman silam. 




https://www.independent.co.uk/news/science/how-islamic-inventors-changed-the-world-6106905.html

http://www.muslimheritage.com/article/mechanical-devices

https://www.arabamerica.com/arabislamic-contributions-to-world-mechanics-and-engineering/





Ann Arbor, Kenangan Lama



Kali pertama saya mendengar nama tempat ini ialah ketika anak saya diberi tawaran melanjutkan pelajaran di sini. Sebutannya agak istimewa,  menggambarkan seorang wanita yang bernama Anne.

Ini bukan kali pertama saya ke sini. Bandar ini kemungkinan besar maju disebabkan wujudnya universiti ini, University of Michigan, Ann Abor. Oleh itu bolehlah dikatakan Ann Arbor ini sebuah 'university town'. Sama seperti Bandar Baru Bangi yang maju disebabkan kewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Ketika kami sampai di sini pada bulan Julai yang lepas, Stadium Michigan kelihatan lengang. Cuti musim panas masih belum berakhir. Cuaca pula panas membahang. Kunjungan kami ke tempat ini mengimbau kembali detik bersejarah bagi kami sekeluarga bulan Mei,tahun 2012 yang lalu. 

'Pagi itu kami bangun awal memandangkan kami terpaksa menaiki kereta dan seterusnya bas untuk ke Stadium Michigan. Majlis ini ialah bahagian pertama bagi keseluruhan majlis graduasi di sini. Anak saya yang kedua, Basyirah bakal menerima segelung ijazah pada hari tersebut.


Suhu ketika itu sangat sejuk terutama sekali apabila angin bertiup kencang. Dalam keadaan menggeletar kesejukan, tiba-tiba kami ternampak cebisan-cebisan putih seperti kelopak bunga kecil berterbangan di udara. "Eh, eh ‘flurries’lah" kata anak sulungku, teruja sambil menadah tangan, cuba mengumpul ‘flurries’. Walau bagaimanapun ‘flurries’ sangat kecil dan ringan. Ia akan cair sebaik sahaja tiba di tangan. Flurries sebenarnya ialah butir-butir salji yang sangat kecil dan ringan yang turun apabila cuaca terlalu sejuk. Oleh kerana terlalu teruja, kami berlima terus ikut menadah tangan sambil seronok memerhatikan flurries yang turun. Cuaca dingin di luar kini tidak terasa dek terlalu teruja. Agak mengejutkan sebab flurries ini turun dalam bulan Mei! Kebiasaannya bulan ini ialah bulan perantaraaan musim bunga dan musim panas di hemisfera utara dan bukannya musim dingin.  Bas yang kami naiki sudah sarat dengan para siswa dan keluarga. Bak kata orang Melayu, macam dalam tin sardin! Ruang yang ada hanya muat untuk berdiri sahaja. Namun kami bersyukur ia dapat membawa kami ke tempat yang lebih dekat dengan majlis graduasi ini.  Sebahagan daripada dedaun Kadangkala,disebalik kesulitan menghadapi satu-satu cabaran hidup, Allah selitkan setitis kegembiraan agar kita dapat terus mengharung dugaan yang merintang. Bagi kami, misalnya bukannya mudah untuk sampai ke tempat majlis graduasi anak, namun dengan sedikit kehadiran flurries ini yang Allah turunkan cukup mengembirakan kami sekelurga buat seketika. Alhamdulillah. Bagi mereka yang sedang menghadapi dugaan hidup, sematkan dalam diri ayat ini agar sentiasa memotivasikan diri. Ini janji Allah kepada kita sekiranya kita yakin denganNya. Firman Allah yang bermaksud: " Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." Al Insyirah 94:5-6
Bersambung. Insha Allah. 

Saturday, September 22, 2018

Muslim di Chicagoland


Chicagoland seolah-olah nama satu taman tema. Sebenarnya Chicagoland ialah nama tidak rasmi bagi Chicago Metropolitan Area. Kawasan ini meliputi bandaraya Chicago dan pinggir bandar tersebut termasuklah sebahagian daerah Illinois, Indiana dan Wisconsin. Ini bermakna Chicagoland meliputi sebahagian daerah dalam tiga negeri di Amerika Syarikat.
 
Chicago antara kawasan yang ramai orang Islam di Amerika Syarikat. Bilangan umat Islam di sekitar Chicago menurut 'The Council on American Islamic Relations (CAIR) ialah diantara 300 000 hingga 500 000 orang. Dengan bilangan orang Islam sebegini ramai sudah semestinya bilangan masjid juga banyak. Berdasarkan laman web Salatomatic.com terdapat lebih daripada 100 buah masjid di kawasan Chicagoland. Banyak!

Lebih selesa rasanya saya memulakan cerita tentang pengembaraan saya ini dengan persinggahan di rumah Allah. Dalam pemusafiran terutama di tempat yang jauh dari negara asal, lebih tenang hati ini  sekiranya rumah Allah dijadikan tempat utama persinggahan. Memohon agar dipermudahkan Allah dan dijauhkan segala bencana semasa perjalanan.

Benar seperti apa yang dibincangkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya, Tenang Ada Di Sini.

'Solat itu hakikatnya zikir. Bahkan ia sebesar-besar zikir. Solat akan memberi ketenangan pada jiwa kerana dalam solat orang beriman akan mengingati, mengadu, memohon, menyerah seluruh dirinya kepada Allah. Apabila hati manusia telah berjaya berhubung dengan Allah Yang Maha Perkasa, Maha Kaya, Maha Pengasih dan Penyayang, maka ketika itulah hati akan menjadi tenang. 

Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
Surah al Ra'd 13: 28

Solat jika benar benar difahami, dihayati dan dirasai, maka ia akan memberi kerehatan pada fizikal, mental, emosi dan jiwa. Ia suatu kerehatan buat jiwa. Bayangkan dalam solat, orang beriman akan dapat merayu, mengadu, merintih dan mengharap kepada Tuhan yang Maha Kuasa, Maha Penyayang dan Maha Mendengar. '

Masjid yang pertama kami  singgah ini terletak  di satu kawasan perumahan pinggir bandar Chicago. Dari jauh kompleks Muslim Education Center ini tampak gah, luas dan moden.Kawasan parkir yang agak luas memudahkan kami meletakkan kenderaan kami. 

Selain daripada Masjid, kompleks MEC  ini menempatkan sebuah pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah Menengah  Islam di bawah satu bumbung. Kompleks MEC ini dibawah kelolaan Muslim Community Center. Berdasarkan laman web MEC, sekolah ini mengikuti kurikulum standard yang sama dengan sekolah biasa di Illinois dan ditambah dengan mata pelajaran Islam, Al Quran dan bahasa Arab.  Bilangan pelajar di sini mengikut perangkaan 2017  sudah hampir menjangkau 700 orang. 

Jumlah ini belum termasuk pelajar daripada sekolah biasa yang menghadiri kelas agama tambahan untuk kelas hari Sabtu dan hari Ahad. Ramai! Belum juga ditambah dengan aktiviti masjid untuk para muslimin dan muslimat. Alhamdulillah, kompleks ini seperti aktif hampir setiap hari!
Bersambung.

Rujukan:
1.  https://mccchicago.org/mcc-past-and-present/
2. https://chicago.suntimes.com/politics/growing-muslim-population-means-more-services-to-keep-up/








Popular Posts